Assalamualaikum... Anda Sedang Melayari Blog Berkat Islam... Terima Kasih Kerana Melayari Blog Ini... :)

Selasa, 16 Ogos 2011

Lailatul Qadr Malam Penuh Hikmah



Pada entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai malam-malam terakhir Ramadhan Al-Mubarak. Pada zaman Rasulullah dan para sahabat, mereka menangis apabila dapat hidup di dalam Ramadhan kerana sangat gembira. Dan apabila berakhirnya Ramadhan mereka menangis kerana takut untuk tidak bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Betapa besarnya nikmat kurniaan Ramadhan ini kepada hamba-hambanya. Seperti setiap perkara diatas muka bumi ini, Allah jadikan ia dengan hati. Hati bagi Al-Quran ialah Surah-Yasiin dan hati bagi setiap minggu iaitu Jumaat. Maka hati untuk Ramadhan ialah Lailatul Qadar.

Bilakah Lailatul Qadar? Seperti mana yang telah diterangkan di dalam sebuah hadith Shahih :


Riwayat Bukhari
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّ رِجَالًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْمَنَامِ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَى رُؤْيَاكُمْ قَدْ تَوَاطَأَتْ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ فَمَنْ كَانَ مُتَحَرِّيهَا فَلْيَتَحَرَّهَا فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ


Dari Ibnu Umar r.a. katanya: “bahawasanya beberapa orang lelaki sahabat Nabi s.a.w. diperlihatkan kepada mereka Malam Qadr dalam tidur mereka pada tujuh yang akhir (Bulan Ramadhan).”

Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Aku melihat apa yang kamu lihat dan aku setuju dengan tujuh yang akhir. Maka siapa hendak mencari carinya carilah pada tujuh yang akhir.”


Allah telah menurunkan bagi umat yang disayanginya di akhir zaman satu malam dan dengan mengkhususkan sebuah surah iaitu Al-Qadr. Betapa hebatnya malam Al-Qadr dan ia adalah ganjaran besar buat umat Islam yang harus direbut habuannya. Tetapi apakah itu malam Al-Qadr?

Surah Al-Qadr

Maksudnya:

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).


dan tafsirannya.

Lailatul Qadr juga dikenali dengan Lailatul Mubarakah sebagaimana yang disebut dalam firman Allah yang berbunyi, “Innaa anzalnahu fi lailatin mubaarakah.” yg maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya(al Qur’an) pada malam yang penuh keberkatan”. Dan malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Qur’an.” Ibn Abbas berkata: Allah telah menurunkan al Qur’an dalam jumlah yang satu(sekaligus) daripada lauh mahfuz ke baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan kejadian yang berlaku sepanjang kehidupan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah selama tempoh 23 tahun.


Maka jelaslah kita bahawa Lailatul Qadr wujud pada malam-malam akhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dimana malam itu lebih baik dari seribu bulan. Marilah sama-sama kita merebut kurniaan ini. Disamping itu ingin juga saya berkongsi mengenai kelebihan malam-malam terakhir Ramadhan.


Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.

Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar).

Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.

Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:

“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar’”.

2 ulasan: