Assalamualaikum... Anda Sedang Melayari Blog Berkat Islam... Terima Kasih Kerana Melayari Blog Ini... :)

Khamis, 25 Ogos 2011

Kesayuan Di Hujung Ramadhan


Mungkin ini yang terakhir buatku,
Tiada lagi pertemuan dengan Ramadhan,
Tiada lagi kenangan yang akan dicoretkan,
Tiada lagi peluangku bertasbih di dalamnya,
Tiada lagi kisah Ramadhan akan datang,
Mungkin tangisku ini,
Mampu melengkapkan Ramadhan terakhirku.

Selamat tinggal Ramadhan...

Inilah perasaanku sekarang meniti hari-hari terakhir dalam bulan yang penuh barakah dan ajaib ini. Walaupun baru bertemu dengan Ramadhan namun perpisahan ini harus dilalui dan diredhai walaupun berat rasanya hati untuk membiarkan ia berlalu pergi. Banyak kisah yang berlaku di dalam hidupku dalam Ramadhan 1432 Hijri. Dan ia sedikit sebanyak memahamkan aku tentang apa itu Islam yang harus aku fahami sejak aku menjadi seorang Islam yang Mukallaf. Alhamdulillah, kerana Allah telah aturkan aku bertemu dengan Ramadhan yang penuh keinsafan dan rahmat yang tidak terhingga banyaknya. Ya Allah aku pohon keampunan hanya dariMu kerana tiada selain engkau yang mampu aku memohon keampunan.

Alhamdulillah, kerana menjadikan Ramadhan kali ini yang terbaik pernah aku alami setakat ini dan yang akan ku ingati sehingga aku menghembuskan nafas aku yang terakhir. Semoga semua perasaan ini tidak hilang dan pergi begitu sahaja. Amiinn.

Selasa, 16 Ogos 2011

Lailatul Qadr Malam Penuh Hikmah



Pada entri kali ini saya ingin berkongsi mengenai malam-malam terakhir Ramadhan Al-Mubarak. Pada zaman Rasulullah dan para sahabat, mereka menangis apabila dapat hidup di dalam Ramadhan kerana sangat gembira. Dan apabila berakhirnya Ramadhan mereka menangis kerana takut untuk tidak bertemu dengan Ramadhan yang akan datang. Betapa besarnya nikmat kurniaan Ramadhan ini kepada hamba-hambanya. Seperti setiap perkara diatas muka bumi ini, Allah jadikan ia dengan hati. Hati bagi Al-Quran ialah Surah-Yasiin dan hati bagi setiap minggu iaitu Jumaat. Maka hati untuk Ramadhan ialah Lailatul Qadar.

Bilakah Lailatul Qadar? Seperti mana yang telah diterangkan di dalam sebuah hadith Shahih :


Riwayat Bukhari
عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا
أَنَّ رِجَالًا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرُوا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْمَنَامِ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَرَى رُؤْيَاكُمْ قَدْ تَوَاطَأَتْ فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ فَمَنْ كَانَ مُتَحَرِّيهَا فَلْيَتَحَرَّهَا فِي السَّبْعِ الْأَوَاخِرِ


Dari Ibnu Umar r.a. katanya: “bahawasanya beberapa orang lelaki sahabat Nabi s.a.w. diperlihatkan kepada mereka Malam Qadr dalam tidur mereka pada tujuh yang akhir (Bulan Ramadhan).”

Rasulullah s.a.w. bersabda: ” Aku melihat apa yang kamu lihat dan aku setuju dengan tujuh yang akhir. Maka siapa hendak mencari carinya carilah pada tujuh yang akhir.”


Allah telah menurunkan bagi umat yang disayanginya di akhir zaman satu malam dan dengan mengkhususkan sebuah surah iaitu Al-Qadr. Betapa hebatnya malam Al-Qadr dan ia adalah ganjaran besar buat umat Islam yang harus direbut habuannya. Tetapi apakah itu malam Al-Qadr?

Surah Al-Qadr

Maksudnya:

1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.

2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?

3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan

4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.

5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).


dan tafsirannya.

Lailatul Qadr juga dikenali dengan Lailatul Mubarakah sebagaimana yang disebut dalam firman Allah yang berbunyi, “Innaa anzalnahu fi lailatin mubaarakah.” yg maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya(al Qur’an) pada malam yang penuh keberkatan”. Dan malam tersebut sudah pastinya di bulan Ramadhan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud, “Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya al Qur’an.” Ibn Abbas berkata: Allah telah menurunkan al Qur’an dalam jumlah yang satu(sekaligus) daripada lauh mahfuz ke baitul ‘Izzah di Langit Dunia. Kemudian ia diturunkan secara beransur-ansur berdasarkan kejadian yang berlaku sepanjang kehidupan Nabi Muhammad sebagai Rasulullah selama tempoh 23 tahun.


Maka jelaslah kita bahawa Lailatul Qadr wujud pada malam-malam akhir bulan Ramadhan Al-Mubarak. Dimana malam itu lebih baik dari seribu bulan. Marilah sama-sama kita merebut kurniaan ini. Disamping itu ingin juga saya berkongsi mengenai kelebihan malam-malam terakhir Ramadhan.


Malam 15 - Semua Malaikat yang menanggung ‘Arasy, Kursi, berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.

Malam 16 - Allah swt tuliskan baginya terlepas daripada neraka dan dimasukkan ke dalam Syurga.

Malam 17 - Allah kurniakan orang yang bertarawih pahalanya pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.

Malam 18 - Seru Malaikat: Hai Hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha kepada engkau dan ibu bapa engkau (yang masih hidup atau mati).

Malam 19 - Allah swt tinggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.

Malam 20 - Allah kurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang solihin.

Malam 21 - Allah binakan sebuah istana dalam Syurga daripada Nur.

Malam 22 - Datang ia pada hari Qiamat aman daripada tiap-tiap dukacita dan kerisauan (tidaklah dalam keadaan huru hara di Padang Mahsyar).

Malam 23 - Allah swt binakan kepadanya sebuah bandar di dalam Syurga daripada Nur.

Malam 24 - Allah bukakan peluang 24 doa yang mustajab bagi orang berterawih malam ini, (elok sekali berdoa ketika dalam sujud).

Malam 25 - Allah Taala angkatkan daripadanya siksa kubur.

Malam 26 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini seumpama 40 tahun ibadat.

Malam 27 - Allah kurniakan kepada orang bertarawih pahala pada malam ini ketangkasan melintas atas titian Siratulmustaqim seperti kilat menyambar.

Malam 28 - Allah swt kurniakan kepadanya 1000 darjat di akhirat.

Malam 29 - Allah swt kurniakan kepadanya pahala 1000 kali haji yang mabrur.

Malam 30 - Allah swt beri penghormatan kepada orang berterawih pada malam terakhir ini yang teristimewa sekali, lalu berfirman:

“Hai hambaKu: makanlah segala jenis buah-buahan yang engkau ingini hendak makan di dalam syurga, dan mandilah engkau daripada air syurga yang bernama Salsabila, serta minumlah air daripada telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang bernama ‘Al-Kauthar’”.

Ahad, 14 Ogos 2011

Ramadhan VS Merdeka


Pada permulaan kepada artikel ini saya ingin pembaca membuka minda tentang betapa mudahnya kita diperbodohkan oleh cara hidup kita . Agama telah dicipta oleh Allah dan juga sama seperti bangsa. Tetapi adat atau cara hidup bangsa itu akan dicorakkan oleh bangsa dan individu itu sendiri. Antara dua pilihan iaitu Agama ciptaan Allah atau Budaya yang diada-adakan dan ia menjadi ikutan. Tetapi persoalannya pada artikel kali ini ialah, Adakah kita patut melebihkan sambutan Ramadhan atau Merdeka? Atau mengimbangkan kedua-duanya.

Saya ingin berkongsi tentang realiti pada hari ini. Negara kita merupakan tanah air kita. Negara kita telah dirobek jasadnya dengan anasir "LIBERAL". Ingatlah, Malaysia wujud sebagai sebuah negara bangsa dan bukannya negara Islam seperti yang diuar-uar kan. Undang-undang Islam dipijak dan diinjak oleh penganut Islam sendiri. Matawang Islam (dinar emas) dirompak dengan dolar dan ringgit Malaysia olahan Kapitalis. Perempuan-perempuan muslim dibogelkan di dada majalah untuk tontonan ramai. Adakah ini negara kita? Judi diberi lesen dan polis mahupun penguatkuasa dilarang untuk masuk ke Genting Highland semata-mata mereka mempunyai lesen yang diperakui sah oleh kerajaan. Ini bermaksud Malaysia mempunyai hab privasi untuk berjudi dalam negara yang ditakbir oleh orang yang bernama Islam. Jika untuk dicatatkan disini banyak dan panjanglah artikel ini. Kembali kepada tajuk. Ramadhan dan Kemerdekaan. Ingatlah ada suatu hadith sahih iaitu "Cintakan tanah air itu sebahagian dari iman.” (Hadis riwayat Bukhori dan Muslim). Jadi sayangi negara adalah wajib. Tetapi negara yang bagaimana? Jika kembali mengimbau sejarah Islam. Pada empayar turki othmaniah, negara Islam ialah 2/3 dunia. ditakbir oleh Khalifah Islam. Maka itulah negara kita.

Setelah keruntuhan kerajaan Islam, timbulnya ajaran sekular yang semakin menjadi intipati otak rakyat apabila ia sering dimainkan di media perdana. Ingatlah, semangat nasionalisme merupakan salah sebuah ajaran sekular yang diterapkan oleh barat semata-mata untuk menggagalkan usaha kearah mewujudkan kembali Khalifah Islam. Ia mula diperkenalkan pada perang dunia pertama. Dan ia menjadi asas pada pembentukan negara setelah kejatuhan empayar turki ke tangan Presiden Kamal Atrturk. Ia bagi mengelakkan semua negara Islam bersatu dan mewujudkan pemerintahan berdasarkan Khalifah. Maka kita memegangnya sebagai salah satu ideologi dasar dalam pemikiran kita. Lihatlah betapa mendalamnya ideologi sekular dalam diri rakyat Malaysia. Banyak yang boleh diperkatakan tentang ideologi sekular di negara kita.

Boleh untuk menyambut Kemerdekaan tetapi ia hanya budaya maka berpada-pada dan janganlah sesekali meninggalkan amal Ramadhan untuk Kemerdekaan. Kita tahu apa priority kita. Kerana negara kita yang sebenarnya yang dimaksudkan dalam haduth yang diatas ialah negara yang mengamalkan urustakbir Islam dan mengikutnya secara keseluruhan. Maka sekarang kepentingan kita terketak kepada Ramadhan. Kerana ia kurniaan dari Allah khusus untuk kita. Rebut peluang Ramadhan dan jangan putus harapan dari mendapat berkat dariNYA.


Ahad, 7 Ogos 2011

Inilah Seindah-indah Perhiasan Dunia (Wanita Solehah)







Perempuan Yang Disayangi Adalah pencinta TuhanNya....
Yang mengalir cinta,takut dan harap...
Yang menguasai perjalanan penghidupannya...
Dari waktu ke waktu....
Dari hari ke hari....
Sehingga perjalanan di antara....
Jasad dan nyawanya berakhir......



PEREMPUAN YANG DIRINDUI.........
Adalah perempuan yang dimata dan wajahnya....
terpancar sinar Nur Ilahi...
Lidahnya basah dengan zikrullah...
Di sudut hati kecilnya.....
Sentiasa membesarkan Allah....


PEREMPUAN YANG DICINTAI...
Yang menutup auratnya....
Dari pandangan mata ajnabi...
Kehormatan dirinya menjadi mahal nilainya....
Di sanjung tinggi......
Penduduk langit dan bumi....


PEREMPUAN YANG DIIMPIKAN...
Adalah yang mendekatkan...
Hatinya yang telah jauh...
Kepada AR-Rahman,AR-Rahim...
Di saat orang lain dilamar kebendaan....


PEREMPUAN YANG DIKASIHI...
Yang bersyukur dengan apa yang ada...
Yang bersabar pada yang tiada....
Cinta pada hidup yang sederhana....
Yang tidak bermata benda.....


PEREMPUAN YANG DISUKAI...
Menjadi dian pada dirinya sendiri....
Menjadi pelita untuk putera-puterinya....
Yang bakal dilahirkan......
untuk menyambung perjuangannya di belakang hari....


"Ya Allah, Aku Mahu Menyintainya Kerana Dia Mengingatkan Aku Kebesaran MU YA ALLAH"

Sabtu, 6 Ogos 2011

Kurniaan Allah

Assalamualaikum….
Setelah sekian lama saya tidak mengupdate blog berkat islam ini, akhirnya Allah menemukan hati saya untuk meng “update” kan blog berkat islam ini. Insha ALLAH, pada kali ini saya ingin berbicara mengenai NIKMAT. Walaupun penjelasan atau kupasan ini tidaklah selengkap mana dan demi sesungguhnya saya berusaha untuk sedaya upaya berkongsi apa yang termampu. Jika sebarang penambahan, saya mengalu-alukan saudara dan saudari untuk menambahnya di ruangan komen di bawah.



NIKMAT…

Apakah itu nikmat? Seperti mana kita mengetahui, nikmat itu adalah milik semua makhluk di atas muka bumi ini. Kita telah diaturkan banyak nikmat, tetapi nikmat ada banyak jenis. Nikmat zahir dan nikmat batin. Nikmat zahir ialah nikmat yang kita boleh rasai, sentuh dan nikmati dalam seharian hidup kita. Allah aturkan kepada kita nikmat makanan, rezeki kepada kita sejak kita lahir lagi. Dimana sejak kita dilahirkan lagi Allah lah yang membuat kita mampu menikmati nikmat melihat dunia ini. Bahkan sebelum kita lahir lagi Allah telah aturkan kita mendapat makanan dari tubuh ibu kita. Betapa hebatnya nikmat kurniaan Allah. Bayangkan, betapa hamba itu sering kufur kepada nikmat yang Allah berikan. Adakah kita bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada kita setiap hari? Nikmat makan, tidur, bernafas, melihat, mendengar, bercakap, harta, anak-pinak, dan berbagai-bagai lagi. Adakah kita pernah bersyukur atas semua ini? Ingatlah, Allah sayang akan hambanya. Apa yang ada pada kita tidak ternilai harganya jika nak dibandingkan dengan amalan yang kiat lakukan.

Terdapat satu kisah yang ingin saya kongsikan.
Di suatu ketika, di mana orang yang banyak beramal untuk memasuki syurga Allah ketika di hisap, sifulan ini meminta di atas neraca timbangannya diletakkan hanya amalannya tanpa redha Allah. Lalu diletakkan amalannnya dan Allah letakkan sedikit nikmat pemberian Allah iaitu sebiji mata sifulan berkenaan di neraca timbangan maka sesungguhnya neraca itu lebih berat dari semua amal ibadatnya di dunia. Betapa banyaknya nikmat Allah, betapa bernilainya kurniaan Allah. Inilah tandanya Allah bersifat dengan Ar Rahman (Maha Pemurah). Tidak satu makluknya pun yang terlepas dari mendapat nikmatnya hatta ulat di dalam batu sekalipun mendapat nikmat Allah. Subhana ALLAH.
Ingatlah,
“bersyukurlah kamu sesungguhnya hanya sedikit dalam kalangan kamu yang bersyukur kepadaKU.” Terjemahan Al-Quran.


“Ya Allah apa saja yang aku alami, daripada nikmatMu, daripada kurniaan daripada sesiapa di kalangan hambaMu, tidak ada daripada sesiapa melainkan daripada Engkau wahai Tuhan. Bagi Engkaulah pujian, bagi Engkaulah kesyukuran”

Perjalanan mencari Cahaya Ilahi


Assalamualaikum kepada seluruh makhluk sekelian alam. Sedikit coretan isi hatiku ingin ku tuliskan di sini. Dengan harapan ia perkongsian yang berguna kepada semua Insha ALLAH.
Disuatu pagi, aku berada di ruangan luar halaman iaitu di sebuah padang rumput. Sambil itu aku merenung ke atas langit. Sungguh cantik ciptaanNYA. Langit yang tidak bertiang mampu terapung dan menjadi bumbung alam adalah salah satu ciptaanNYA. Subhana ALLAH. Lalu bingkasku bangun meninggalkan kerusi yang agak usang itu. Berfikirku sejenak, mengapakah masih ramai yang alpa walaupun kebesaran wujud di depan mata?
Aku meninggalkan padang rumput itu dengan pelbagai soalan dan jawapan di dalam fikiranku. Aku berjalan sehingga ditemukan dengan sebatang sungai yang jernih dan dingin airnya. Laluku teguk air sungai itu bagi menghilangkan rasa dahagaku. Berfikir aku lagi, hebat sungguh ciptaanNYA. Air sungai tidak pernah berhenti mengalir semata-mata taat kepada perintah tuhannya. Tetapi mengapakah manusia masih ramai yang meninggalkan solat yang menjadi perkara asas dalam kehidupan? Lalu aku teruskan perjalanan aku sambil menggelengkan kepalaku tanda fikiranku buntu memikirkan semua ini.
Setelah beberapa ketika, aku tiba di sebuah padang pasir yang kering kontang. Tetapi kelihatan beberapa ekor unta sedang bergerak menuruni lembah di gurun tersebut. Dalam keadaan panas dan kering, bagaimanakah hidupan mampu melintasi kawasan itu. Persoalan demi persoalan muncul difikiranku. Dalam keadaan yang agak bercelaru, suatu suara bisikan membisikkan kepadaku.
“Sesungguhnya hanya dari Allah segala petunjuk, dan mohonlah petunjuk darinya wahai hamba kerana petunjuk itu hanya akan dikurniakan kepada golongan dan hamba yang dikehendaki oleh Allah.”
Lalu aku tersenyum sendirian kerana teringatkan kata-kata ayahku yang dipesannya kepadaku beberapa tahun yang lepas. Katanya, “Tidak semua yang mempunya telinga mendengar, tidak semua yang mempunyai mata melihat, tidak semua yang mempunyai hati merasakan akan hidayahnya. Ini kerana mereka tidak mahu mendengar kebenaran hukum ALLAH, melihat kebesaran ALLAH dan merasakan keagungan ALLAH kerana mereka tidak menerima hakikat bahawa sesungguhnya mereka tergolong dalam golongan yang sesat lagi rugi”. Memang betullah kata orang tuaku. Alhamdulillah kerana berikan ku pertolongan disepanjang perjalanan hidupku hingga kini.
“Ya Allah, Kau bukakanlah pintu hati kami untuk menerima setiap hikmah disebalik kejadian ciptaanMU.”Amin…

Jumaat, 5 Ogos 2011

Kerinduanku Ramadhan




Hampir setahun telah berlalu, telahku tinggalkan Ramadhan yang lepas dengan penuh kenangan yang pahit mahupun manis. Teringat kembali aku habiskan Ramadhan yang lalu tanpa memikirkan betapa berharganya setiap detik masa Ramadhan yang berlalu tanpa mengambil setiap kelebihan di dalamnya. Tapi hari ini Allah telah memilih aku dalam kalangan hambanya untuk menikmati Ramadhan pada tahun ini. Alhamdulillah, aku bersyukur kepadamu Ya Allah atas pemberian yang sangat berharga kepada diri insan yang kerdil ini. Ramadhan kali ini aku ingin penuhinya dengan tunduk, taat, sujud kepadaMu Ya Allah. Diri ini amat hina, dan tidak layak untuk masuk ke syurgaMu tetapi aku tidak sanggup diazab olehMu. Aku menadah tangan semoga dosa-dosaku yang lepas diampunkan dan memohon keredhaanMu untuk hidup diatas dunia ini. Aku pohonkan agar Ramadhan yang sedang aku alami adalah yang terbaik dalam hidupku. Yang paling baik aku pernah persembahkan kepadaMu dan aku pohon agar jangan Kau palingkan hati aku dari beriman dan taat kepadaMu. Amin.